Monday, June 13, 2016



Fenomena Muzik Di Negeri Sabah: Kuantiti VS Kualiti
(Coretan 2016)

Senario muzik di Sabah ini bukanlah sesuatu yang baru untuk diperkatakan. Sejak dari tahun 1950-an lagi, generasi pada masa itu sudah mula berkarya. Dengarkan saja corong-corong radio tempatan atau stesen TV seperti Tvi Astro, SabahFM, Kupi-KupiFM, KeningauFM, TambunanFM dan banyak lagi FM (maaf bagi yang tidak tersenarai, cuma sepintas lalu sahaja memikirkan FM-FM ini) akan sentiasa memainkan lagu-lagu dari zaman 1950an sehingga sekarang 2016. Saya secara peribadi, amat bangga atas usaha dan segala sumbangan pihak tertentu ataupun individu yang terus menghidupkan industri muzik di Sabah ini. Terima kasih untuk itu. Persoalannya, adakah kuantiti dan kualiti muzik di Sabah ini wajar atau seimbang dengan perkembangan zaman sekarang ini?

I - Kuantiti dan Kualiti Lagu Baru

Penghasilan lagu-lagu (tidak kira apa jenis bahasa) berasaskan hiburan di Sabah bertumbuh seperti cendawan. Saban hari, kekerapan lagu baru dicipta semakin banyak didengari di corong radio, yang bermaksud kuantiti lagu tempatan Sabah semakin bertambah, bertambah dan bertambah. Makin banyak lagu, makin penuh la HP kita. Ops... Tetapi, apa yang membimbangkan ialah kualiti lagu-lagu yang dihasilkan kini banyak yang tidak menepati standard muzik yang bagus. Bagus dari segi apa ya? Jawapannya, dari segi penulisan lirik, gubahan lagu dan susunan muzik, kualiti bunyi, kualiti pemuzik dalam sesebuah lagu tersebut. Lirik yang bagus jika tidak seimbang dengan gubahan lagu, susunan muzik, kualiti bunyi dan kualiti pemuzik akan tetap mencacatkan produk muzik tersebut. Atas sebab-sebab inilah mengapa banyak lagu baru di’reject’ oleh RTM dan bukan setakat suka-suka atau ada unsur pilih kasih untuk menyiarkan karya anda. 

Anda walaupun tidak mempunyai latar belakang atau asas penciptaan muzik, sila la buat kerja rumah sikit. Belajar dan fahami dulu apa yang perlu difikirkan untuk menghasilkan muzik anda. Rajin explore, jangan malu untuk bertanya dan meminta pendapat daripada orang-orang yang lebih tahu. Kalau tidak, hasil akhir karya anda akan jadi seperti rumah banglo beratapkan daun nipah. Something wrong  huh?! Jadi, kesimpulannya biarlah kuantiti penciptaan lagu wajar berkualiti tinggi. Percayalah teman-teman, lagu yang berkualiti akan tahan lama di hati pendengar. 

II - Kuantiti VS Kualiti Pemuzik di Sabah

Negeri Sabah ini berskala kecil sahaja. Kota Kinabalu ke Lahad Datu cuma mengambil masa dalam 7 8 jam sahaja. Industri muzik di Sabah pun kecil sahaja wahai saudara dan saudari sekalian. Di Sabah ada dua kategori pemuzik iaitu (A)Self-taught musician dan juga (B)Educated musician. 

Isu (A): Orang-orang Sabah sangat berbakat. Ramai yang belajar sendiri untuk survive dalam bidang muzik. Cuma apabila kita berdebat pasal kuantiti dan kualiti, nampak tidak berapa seimbang. Kuantiti pemuzik jenis (A) ini semakin lama semakin ramai, dari umur muda sampai la dewasa. Kebanyakan mereka belajar hanya melalui pendengaran sahaja. Namun, skill level  kebanyakan mereka ini sangat terhad dari segi pembacaan notasi muzik sebagai contoh. 

Isu (B): Mereka ini adalah golongan yang belajar muzik secara formal. Mempelajari ilmu muzik sehingga ke tahap diploma, ijazah sarjana muda, bahkan ke peringkat sarjana dan PhD. Semakin tinggi ilmu yang ditimba, maka semakin luas pengetahuan dan tinggi kualiti pemuzik-pemuzik ini. Bilangan (B) ini masih boleh dihitung sebenarnya di Sabah ini kerana bukan mudah sebenarnya untuk memilih jurusan muzik untuk belajar di menara gading. Banyak bantahan dan tomahan yang dilontarkan kepada individu yang ingin memilih muzik sebagai karier hidup. Tidak percaya, tanya la mereka yang bergraduan muzik dari universiti. Sebab itu, (A) dan (B) harus seimbang. 

Kesimpulan.

Cuba anda fikirkan sejenak, kenapa muzik luar senang dibawa masuk ke Sabah? Contohnya, karya-karya dari Indonesia. Lagu cukup ringkas tetapi views di internet mencecah juta. Seringkali juga kita dengar lagu-lagu mereka dimainkan di corong radio di Malaysia, amnya Sabah sendiri. Sebabnya kualiti lagu yang dihasilkan amat bagus dan memberi kepuasan kepada pendengar di Sabah; isu II (A) dan (B) seimbang. Sekarang, cuba fikirkan kenapa karya-karya ciptaan orang Sabah ini susah menembusi pasaran luar? Jangan bilang Indonesia, di Semenanjung Malaysia sahaja pun agak susah kita tembus. Itu antara cabaran-cabaran yang kita hadapi la. 

Harapan dan Harapan.

Saya selalu membayangkan betapa hebatnya muzik di Sabah kalau kita semua satu hati untuk memajukan industri yang kecil saja ini. Bayangkan, pertandingan-pertandingan nyanyian seperti Sugandoi KDCA peringkat akhir diiringi oleh okestra, Juara Lagu pun demikian, konsert – konsert pun diiringi oleh pemuzik yang bertaraf tinggi. Saya percaya satu hari nanti, kita mampu berdiri setaraf dengan industri di tempat-tempat lain. Tetapi sebelum itu, kuantiti itu haruslah wajar dan seimbang dengan kualiti karya dan pemuzik yang ada. Doakan semoga industri muzik di Sabah akan maju dan bertaraf tinggi. Sekian.

Siapa la saya,
Elvin D.
 
June 10, 2016 

Fenomena Muzik Di Negeri Sabah: Kuantiti VS Kualiti (Coretan 2016) Senario muzik di Sabah ini bukanlah sesuatu yang baru untuk di...